Friday, 12 May 2017

Ada apa di Pulau Aman?

 Setiap tempat mempunyai tarikan yang tersendiri. Apabila anda ingin ke Pulau Aman, anda harus tahu sedikit sebanyak mengenainya. Pulau Aman merupakan sebuah perkampungan nelayan dan bukanlah seperti pulau pelancongan lain di Malaysia ini. Sekiranya anda datang tanpa tujuan atau aktiviti semestinya anda akan merasa kebosanan dan ingin segera pulang ke rumah. Namun jika tujuan anda ke sini untuk sebarang aktiviti, pasti anda akan kegembiraan. Di sini dikongsikan sedikit sebanyak aktiviti yang mungkin anda boleh lakukan semasa berada di Pulau Aman.


                                             -Tarikan Utama Pengunjung Ke Pulau Aman-

Bagi anda yang penggemar makanan laut, anda harus mencuba merasainya di sini pula. Tarikan utama pengunjung saban hari ke Pulau Aman adalah keenakan mee udang di sini selain sajian makanan laut lain seperti ketam, udang lipan, kepah dan lain - lain yang baru di tangkap nelayan.


Mee Udang merupakan tarikan utama disini.
sumber: http://www.sobriyaacob.com/2014/01/penang-trip-pulau-aman-pulau-pinang_19.html
Makanan laut seperti udang lipan juga mendapat
permintaan yang tinggi walaupun harganya mahal.
sumber: http://www.sobriyaacob.com/2014/01/penang-trip-pulau-aman-pulau-pinang_19.html


Selain dari keenakan makanan laut yang disajikan di Pulau Aman, mereka yang mempunyai hobi memancing juga sering berkunjung menghabiskan waktu terluang melayan tarikan ikan di sini. Selain memancing, pengunjung juga boleh mencari siput semasa air laut surut atau menjala udang di persisir pantai Pulau Aman.


Terdapat pakej sewaan bot jika ingin memancing di sekeliling
Pulau Aman dan Pulau Gedung.
sumber: http://rodlentuk.blogspot.my/
Jenahak merupakan antara ikan yang boleh
dicari oleh kaki pancing di sini.
sumber: http://rodlentuk.blogspot.my/









































Antara pokok buah-buahan yang mendominasi kawasan penempatan di Pulau Aman ialah Pokok Sukun kerana hampir setiap rumah penduduk ditanam dengan pokok jenis ini.Dalam perjalanan saya ke Telaga Emas, saya secara tidak sengaja menemui sebatang Pokok Sukun yang diiktiraf sebagai Pokok Sukun tertua di Malaysia. Pokok Sukun ini telah ditanam pada tahun 1890 oleh seorang guru Al-Quran di Pulau Aman, Tok Awang Bin Akib. Walaupun usia pokok ini telah mencapai 120 tahun, ia masih mampu untuk mengeluarkan buah dalam kuantiti yang banyak. sumber: http://mohdfarid87.blogspot.my/2010/12/zoom-malaysia-pulau-aman.html



Merupakan Pokok Sukun Tertua di Malaysia. Kerepek Sukun
Pulau Aman menjadi kegemaran pengunjung yang
datang ke sini.

Telaga Emas mula ditemui pada tahun 1789 setelah seorang penduduk yang sedang menggali telaga mendakwa telah menemui sebuah tempayan emas yang kemudiannya bertukar menjadi batu berwarna emas. Namun, analisis yang dilakukan pemerintahan British ketika itu mendapati batu tersebut hanyalah batu biasa yang berwarna emas (Sila klik pada gambar jika ingin membaca sejarah lanjut Telaga Emas). Antara keunikan telaga ini adalah, air tawar dalam telaga dengan air masin daripada laut tidak bercampur walaupun kedudukannya hanya bersebelahan diantara satu sama lain. sumber: http://mohdfarid87.blogspot.my/2010/12/zoom-malaysia-pulau-aman.html





Telaga Emas

Bagi mereka yang ingin mencari ketenangan atau lokasi yang jauh dari kesibukan bandar, Pulau Aman merupakan antara lokasi terbaik dan bajet. Tanpa kenderaan bermotor anda hanya perlu menggunakan kedua belah kaki antara untuk ke satu - satu tempat. Mereka yang ingin merehatkan minda bersama keluarga juga boleh menginap di chalet, homestay atau hotel bajet yang terdapat di sini dengan kadar sewa yang berpatutan. Kempen seperti perkhemahan juga boleh diadakan di sini dan terdapat tapak berkhemah di sediakan.

Chalet berkonsepkan Rumah Melayu Tradisional
Hotel bajet milik Persatuan Nelayan Kawasan
Seberang Perai.






                                                      -Sekian untuk entry kali ini- 








Sejarah Dan Maklumat Terkini Mengenai Pulau Aman

Pulau ini mula didiami pada tahun 1817 oleh mereka yang berketurunan Bugis, Arab dan empat orang kerabat Diraja Kedah semasa krisis Siam dengan Kedah dahulu. Mengikut sejarah, semenjak awal abad ke 20, kehidupan penduduk semakin mewah kerana hasil tangkapan nelayan amat memuaskan dan memenuhi pasaran di Bukit Tambun, Prai dan Pulau Pinang.

Disebabkan oleh kemewahan hidup penduduk pulau ini, lebih ramai orang berhijrah ke sini. Pekedai - pekedai runcit, kedai - kedai makan dan jualan kuih - muih merupakan pekerjaan sambilan. Dalam tahun 1910, ramai orang - orang Cina datang menangkap ikan dan orang India pula datang bekerja sebagai buruh kasar memecah batu kawi. Batu kawi di bawa keluar ke tanah besar menggunakan tongkang untuk digunakan membina jalan - jalan dalam ladang getah orang Eropah tetapi kemewahan hidup mereka mula merosot disebabkan kedatangan Jepun dalam tahun 1941. Jumlah penduduk pada masa itu seramai 1,000 orang. Kehidupan pada zaman penjajahan Jepun sangat susah kerana kesukaran mendapatkan bekalan makanan dari tanah besar dan harus bergantung hidup dengan bekalan ubi kayu sahaja.

Sebaik sahaja perang dunia kedua tamat, mereka yang dahulunya bekerja dengan kerajaan telah kembali semula memegang jawatan masing - masing. Dalam tempoh darurat mulai tahun 1948, Pulau Aman tidak menerima sebarang bentuk ancaman pengganas komunis dan tidak pernah dikenakan perintah berkurung ''curfew'' dalam tahun 1948. Penduduknya pada masa itu berjumlah 800 orang iaitu (2/3 orang Melayu dan 1/3 orang Cina). Mereka hidup dalam aman dan harmoni seperti satu keluarga.

Perusahaan menangkap ikan telah pulih semula menjelang tahun 1957 tetapi sejak tahun 1960 pula hasil tangkapan ikan semakin merosot menyebabkan setengah daripada penduduk pulau ini mula berpindah keluar dan diantaranya berhijrah ke Pahang sebagai peneroka tanah baru dan diikuti oleh orang - orang Cina berpindah ke tanah besar untuk mengubah cara hidup mereka.



Pulau Aman terdiri daripada dua buah pulau iaitu Pulau Gedung di utara dan Pulau Aman di sebelah Selatan. Pulau Aman terletak dalam Mukim 16 Daerah Seberang Perai Selatan. Keluasan Pulau Aman ialah 180 ekar persegi manakala Pulau Gedung pula seluas 108 ekar persegi.

Pada masa sekarang, Pulau Aman didiami oleh keluarga Melayu dan penduduknya seramai 246 orang terdiri daripada 126 lelaki dan 120 perempuan. Kebanyakkan penduduk di sini masih mencari sumber pendapatan dari laut menggunakan peralatan moden seperti bot fibred dan enjin sangkut berkuasa tinggi dan selebihnya bekerja sebagai pengusaha restoran serta bekerja di tanah besar tetapi masih menetap di sini.

Pulau Aman hanya boleh dihubungi melalui jalan laut. Terdapat 3 buah bot penumpang yang beroperasi membawa penduduk dan pengunjung berulang - alik dari Jeti Batu Musang, Batu Kawan ke Pulau Aman mengikut jadual yang ditetapkan.

Diharapkan dengan bantuan dari semua agensi kerajaan, Pulau Aman akan menjadi salah sebuah destinasi pelancongan pada masa hadapan.






                                                    -Sekian saja untuk entry kali ini-