Friday, 12 May 2017

Sejarah Dan Maklumat Terkini Mengenai Pulau Aman

Pulau ini mula didiami pada tahun 1817 oleh mereka yang berketurunan Bugis, Arab dan empat orang kerabat Diraja Kedah semasa krisis Siam dengan Kedah dahulu. Mengikut sejarah, semenjak awal abad ke 20, kehidupan penduduk semakin mewah kerana hasil tangkapan nelayan amat memuaskan dan memenuhi pasaran di Bukit Tambun, Prai dan Pulau Pinang.

Disebabkan oleh kemewahan hidup penduduk pulau ini, lebih ramai orang berhijrah ke sini. Pekedai - pekedai runcit, kedai - kedai makan dan jualan kuih - muih merupakan pekerjaan sambilan. Dalam tahun 1910, ramai orang - orang Cina datang menangkap ikan dan orang India pula datang bekerja sebagai buruh kasar memecah batu kawi. Batu kawi di bawa keluar ke tanah besar menggunakan tongkang untuk digunakan membina jalan - jalan dalam ladang getah orang Eropah tetapi kemewahan hidup mereka mula merosot disebabkan kedatangan Jepun dalam tahun 1941. Jumlah penduduk pada masa itu seramai 1,000 orang. Kehidupan pada zaman penjajahan Jepun sangat susah kerana kesukaran mendapatkan bekalan makanan dari tanah besar dan harus bergantung hidup dengan bekalan ubi kayu sahaja.

Sebaik sahaja perang dunia kedua tamat, mereka yang dahulunya bekerja dengan kerajaan telah kembali semula memegang jawatan masing - masing. Dalam tempoh darurat mulai tahun 1948, Pulau Aman tidak menerima sebarang bentuk ancaman pengganas komunis dan tidak pernah dikenakan perintah berkurung ''curfew'' dalam tahun 1948. Penduduknya pada masa itu berjumlah 800 orang iaitu (2/3 orang Melayu dan 1/3 orang Cina). Mereka hidup dalam aman dan harmoni seperti satu keluarga.

Perusahaan menangkap ikan telah pulih semula menjelang tahun 1957 tetapi sejak tahun 1960 pula hasil tangkapan ikan semakin merosot menyebabkan setengah daripada penduduk pulau ini mula berpindah keluar dan diantaranya berhijrah ke Pahang sebagai peneroka tanah baru dan diikuti oleh orang - orang Cina berpindah ke tanah besar untuk mengubah cara hidup mereka.



Pulau Aman terdiri daripada dua buah pulau iaitu Pulau Gedung di utara dan Pulau Aman di sebelah Selatan. Pulau Aman terletak dalam Mukim 16 Daerah Seberang Perai Selatan. Keluasan Pulau Aman ialah 180 ekar persegi manakala Pulau Gedung pula seluas 108 ekar persegi.

Pada masa sekarang, Pulau Aman didiami oleh keluarga Melayu dan penduduknya seramai 246 orang terdiri daripada 126 lelaki dan 120 perempuan. Kebanyakkan penduduk di sini masih mencari sumber pendapatan dari laut menggunakan peralatan moden seperti bot fibred dan enjin sangkut berkuasa tinggi dan selebihnya bekerja sebagai pengusaha restoran serta bekerja di tanah besar tetapi masih menetap di sini.

Pulau Aman hanya boleh dihubungi melalui jalan laut. Terdapat 3 buah bot penumpang yang beroperasi membawa penduduk dan pengunjung berulang - alik dari Jeti Batu Musang, Batu Kawan ke Pulau Aman mengikut jadual yang ditetapkan.

Diharapkan dengan bantuan dari semua agensi kerajaan, Pulau Aman akan menjadi salah sebuah destinasi pelancongan pada masa hadapan.






                                                    -Sekian saja untuk entry kali ini-




1 comment: